السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
KAJIAN KITAB IBANAH AL-AHKAM KARYA ASSAYYID ALAWI BIN ABBAS AL-MALIKI
BAB TENTANG TAYAMUM
HADITS KE 108 :
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اَللَّهِ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا; أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: ( أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ وَجُعِلَتْ لِي اَلْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا فَأَيُّمَا رَجُلٍ أَدْرَكَتْهُ اَلصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ ) وَذَكَرَ اَلْحَدِيث
وَفِي حَدِيثِ حُذَيْفَةَ عِنْدَ مُسْلِمٍ: ( وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ اَلْمَاءَ)
وعن علي رضي الله عنه عند أحمد “وجعل التراب لي طهورا”
Dari Jabir Ibnu Abdullah bahwa Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Aku diberi lima hal yang belum pernah diberikan kepad seorang pun sebelumku yaitu aku ditolong dengan rasa ketakutan (musuhku) sejauh perjalanan sebulan; bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud (masjid) dan alat bersuci maka siapapun menemui waktu shalat hendaklah ia segera shalat. “Muttafaq Alaihi”.
Dan menurut Hadits Hudzaifah Radliyallaahu ‘anhu yang diriwayatkan oleh Muslim disebutkan: “Dan debunya dijadikan bagi kami sebagai alat bersuci.”
Menurut riwayat Ahmad daripada ‘Ali (r.a) disebutkan: “Dan dijadikan bagiku tanah dapat menyucikan.”
MAKNA HADITS :
Dalam pembahasan sebelum ini telah disebutkan bersuci dengan air, baik ber-suci kecil (wudhu) maupun bersuci besar (mandi junub) di samping hukum-hukum yang berkaitan dengan keduanya.
Dalam bab ini diterangkan pula bersuci dengan debu kerana tanah dapat dijadikan sebagai pengganti bersuci dengan air, tetapi tidak boleh menggunakan cara ini kecuali dalam keadaan yang tidak memungkinkan memperoleh dan menggunakan air. Ini merupakan salah satu keistimewaan umat Nabi Muhammad (s.a.w).
Allah (s.w.t) telah memuliakan Rasul-Nya dan umatnya dengan keistimewaan yang amat banyak, antara lain ialah mendapat pertolongan melalui perasaan takut yang mencekam hati musuh. Rasa takut itu dilemparkan oleh Allah ke dalam hati mereka sekalipun jarak antara Nabi (s.a.w) dengan mereka memerlukan perjalanan sejauh satu bulan. Umat Nabi (s.a.w) diperbolehkan mengerjakan sholat di mana-mana tempat di muka bumi ini kerana semua bumi adalah tempat sujud untuknya dan tanahnya dapat menyucikan. Bagi umat sebelum ini, ibadah mereka tidak sah kecuali hanya di tempat-tempat ibadah mereka sendiri.
Dihalalkan pula harta ghanimah bagi umat Nabi (s.a.w). Oleh sebab itu, mereka dapat menikmatinya. Sedangkan umat sebelum ini diharamkan ke atas mereka harta ghanimah itu. Allah (s.w.t) memerintahkan mereka mengumpulkan harta ghanimah di tanah lapang, lalu Dia mengirimkan api dari langit yang langsung membakarnya. Nabi (s.a.w) diberi Syafa’ah al-‘Uzhma untuk memberikan ketenangan kepada ahli mawqif di padang mahsyar kelak. Nabi (s.a.w) diutus untuk seluruh umat manusia secara umum, sedangkan sebelum itu setiap nabi hanya diutus untuk kaumnya secara khusus.
Ya Allah, berilah Nabi kami kebenaran untuk memberi syafaat kepada kami, dan jadikanlah kami berada di bawah panjinya, yaitu panji pujian kelak pada hari kiamat. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Engkau memperkenankan orang yang berdo’a kepada-Mu, wahai Tuhan semesta alam.
FIQH HADITS :
1. Keutamaan Nabi (s.a.w) ke atas nabi-nabi yang lain.
2. Membicarakan nikmat Allah bukan untuk tujuan membanggakan diri dan bukan pula untuk menyombongkan diri, sebaliknya untuk mendorong dirinya dan orang lain yang memperoleh suatu nikmat supaya bersyukur dan bertambah giat melakukan amal ibadah kepada Allah yang memberi nikmat itu. Allah (s.w.t) berfirman: وأما بنعمة ربك فحدث “Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).” (Surah al-Dhuha: 11).
3. Rasulullah (s.a.w) ditolong oleh Allah melalui perasaan takut yang mencekam dan menggentarkan hati musuh-musuhnya. Al-Ru’b atau perasaan takut atau gementar merupakan salah satu dari balatenteranya yang maju menggempur hati dan semangat musuh-musuhnya hingga mereka sudah merasa kalah sebelum perang yang sebenar dimulakan.
4. Menetapkan hukum-hukum syariat yang antara lain ialah mengerjakan solat tidak mesti dilakukan hanya di dalam masjid sahaja.
5. Pada asalnya tanah itu hukumnya suci.
6. Tayammum membolehkan apa yang dicegah oleh hadas sama halnya dengan air. Pendapat ini merupakan mazhab Imam Abu Hanifah. Jadi, baginya seseorang dengan tayammum boleh mengerjakan solat fardu dan solat sunat sebanyak apa yang dia kehendaki selagi belum berhadas atau belum menjumpai air, kerana tayammum baginya merupakan pengganti air secara mutlak. Namun Jumhur ulama mengatakan dibolehkan mengerjakan sekali solat fardu dan solat sunat seberapa banyak dia mampu mengerjakannya, tetapi tidak boleh digunakan untuk menggabungkan dua solat fardu. Jika ketika bertayammum seseorang itu berniat untuk mengerjakan solat fardu, maka dia dibolehkan mengerjakan sekali solat fardu dan solat sunat. Tetapi jika berniat untuk melakukan solat sunat, maka dia tidak dibolehkan mengerjakan solat fardu kecuali dengan tayammum yang baru.
7. Tayammum hanya khusus dilakukan dengan debu, sedangkan bertayammum dengan menggunakan objek yang selainnya tidak dianggap memadai menurut pendapat Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i. Sedangkan menurut mazhab Maliki dibolehkan bertayammum dengan apa-apa yang termasuk jenis tanah dengan syarat tidak dibakar. Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mengatakan bahawa tayammum sah dengan menggunakan semua benda suci yang termasuk jenis tanah, iaitu segala sesuatu yang tidak menjadi abu dan tidak lembek apabila dibakar dengan api, seperti debu, pasir dan batu. Jika sesuatu itu menjadi abu apabila dibakar seperti kayu serta daun kering, dan sesuatu yang menjadi lembek apabila dibakar dengan api seperti besi dan timah, maka tayammum tidak sah dengan menggunakan benda tersebut
apabila tidak terdapat debu yang melekat padanya. Abu Yusuf, salah seorang ulama mazhab Hanafi, mengatakan bahawa tidak sah bertayammum kecuali dengan menggunakan debu dan pasir.
8. Ghanimah dihalalkan bagi umat Nabi Muhammad (s.a.w).
9. Hanya Rasulullah (s.a.w) yang diutus kepada seluruh umat manusia secara umum.
10. Allah (s.w.t) menganugerahkan Syafa’at al-‘Uzhma kepada Rasul-Nya untuk membebaskan umat manusia dari kesusahan dan huru-hara pada hari kiamat.
Wallahu a’lam bisshowab..
Demikian Kajian Hadits untuk hari ini
Semoga bermanfaat. Aamiin..